(Dengan na`ma Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Cara Bertudung Menurut Syara‘
Antara pakaian yang digunakan untuk menutup aurat pada
bahagian kepala wanita seperti rambut, telinga dan sebagainya
ialah tutup kepala yang dikenali sebagai tudung. Ciri-ciri tudung
kepala yang dituntut oleh syara‘ itu adalah seperti berikut:
1. Tudung itu menutupi seluruh kepala termasuk leher, kecuali
kawasan muka. Bukanlah cara bertudung yang betul menurut
syara‘ jika masih menampakkan rambut, leher, tengkuk,
telinga, bahagian dada dan seumpamanya. Firman Allah
Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan hendaklah mereka menutup belahan leher
bajunya dengan tudung kepala mereka;….”
(Surah an-Nur: 31)
Belahan baju itu letaknya di kawasan dada. Oleh yang
demikian, tudung kepala itu hendaklah juga menutup atau
menyembunyikan bahagian dada.
2. Tudung itu diperbuat daripada kain atau bahan yang tebal
yang menutupi warna kulit dan rambut dari kelihatan. Bukan
tudung yang jarang, nipis atau berlubang-lubang sehingga
boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat yang
lain.
Antara Ciri-Ciri Pakaian Yang Dilarang Oleh Syara‘
Selain daripada ciri menutup aurat, pakaian wanita yang dituntut
oleh syara‘ hendaklah juga bukan pakaian yang khusus dipakai
oleh kaum lelaki sahaja, umpamanya pakaian cara Melayu dan
baju kemeja. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam telahpun memberi peringatan sebagaimana hadits yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
melaknat lelaki yang memakai pakaian (cara) perempuan dan
(melaknat) perempuan yang memakai pakaian (cara) lelaki.”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Adapun maksud laknat itu ialah seseorang itu jauh dari rahmat dan
belas kasihan Allah Ta‘ala. Bila Allah Ta‘ala dan Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wasallam melaknat ke atas seseorang itu, maka
menunjukkan orang itu telah membuat suatu dosa besar dan
menjadikannya seorang fasiq.
Pakaian yang dituntut oleh syara‘ juga ialah pakaian yang bukan
dipakai untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk, kerana
memakai pakaian dengan tujuan sedemikian adalah dilarang dalam
Islam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin
‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang memakai pakaian yang megah
ketika di dunia, maka Allah akan memakaikannya pakaian
kehinaan pada hari Qiamat, kemudian dinyalakan api di dalamnya
(pakaian tersebut).”
(Hadits riwayat Ibnu Majah)
Kesedaran tentang tanggungjawab menutup aurat perlu bermula
dari individu itu sendiri. Untuk menyuntik kesedaran ini, perlu ada
kefahaman tentang maksud sebenar-benarnya menutup aurat.
Apabila kaum wanita memahami maksud sebenarnya menutup
aurat sebagai satu bentuk ketaatan kepada Allah Subhanahu wa
Ta‘ala dan juga satu nikmat yang wajib disyukuri dan dipelihara,
mereka tidak akan bersikap mencuai-cuaikan dan menangguhnangguhkan
kewajipan ini atau memilih-milih waktu dan tempat
untuk melaksanakannya. Sebaliknya mereka akan istiqamah dan
bersungguh-sungguh melaksanakannya dengan memenuhi ciri-ciri
pakaian sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.
Termasuk dalam misi perlaksanaan perintah menutup aurat ini,
para ibu-bapa, suami dan keluarga mesti turut berperanan malahan
bertanggungjawab untuk mendidik, membimbing dan menasihati
anak, isteri, ibu dan anggota keluarga yang lain supaya sentiasa
melaksanakannya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum
kerabatmu yang dekat.”
(Surah asy-Syu‘ara’: 214)
Tanggungjawab dan kewajipan menyuruh menutup aurat itu tidak
terkecuali digalas juga oleh ahli masyarakat. Sikap tegur-menegur
dan saling menasihati adalah tuntutan agama Islam. Maka setiap
seorang daripada kita juga bertanggungjawab dalam sama-sama
menjauhkan perkara-perkara dosa dan maksiat. Perkara ini
berdasarkan kepada firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat
kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan
pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Dengan kesedaran wanita muslimah kita tentang
tanggungjawabnya dalam menunaikan kewajipan menutup aurat
serta peranan yang dimainkan oleh semua pihak, akan terbentuklah
masyarakat yang berpakaian benar-benar menepati kehendak
syara‘.
Salam.. Ya saya sokong apa yang dinyatakan tentang aurat.. Tapi kalau kita lihat, ramai murid sekolah (terutama sekolah rendah) hanya memakai tudung pada hari persekolahan.. tetapi masa aktiviti sukan dan 'koko' ramai yg tdk memakai tudung. walaupun ramai diantara pelajar sememangnya belum baligh.. tapi mereka adalah individu yg perlu dibentuk sejak dari kecil lagi... Melentur buluh bukan masa dah besar.. tentu keras dan sukar dibentuk. Maka.. renungkanlah ibubapa dan guru2 sekalian (termasuk saya sendiri) agar kita bersama2 berusaha menggalakkan kanak2 ini menutup aurat sejak dari kecil agar mereka dapat membiasakannya apabila dewasa kelak. InsyaAllah... Mudah-mudahan kita semua mendapat rahmat di atas usaha kita ini..
PENAFIAN:
SK Kompleks Uda tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini